Sayyidina Abu Kabsyah Anmari (r.a) meriwayatkan bahawa beliau mendengar
Rasulullah (s.a.w) bersabda, ”Dengan bersumpah saya akan terangkan tiga perkara dan
kemudian saya akan beritahu satu perkara secara khusus maka hendaklah kamu mengingatinya bersungguh-sungguh.
(Pertamanya) Sedekah tidak akan mengurangkan harta sesiapa pun.
(Perkara kedua ialah) sesiapa yang dizalimi dan dia bersabar maka kerana kesabarannya itu Allah akan menambahkan kemuliaannya.
(Perkara ketiga ialah) sesiapa yang membuka pintu meminta-minta daripada manusia maka Allah akan membuka pintu kefakiran untuknya.
Kemudian Baginda (s.a.w) bersabda,
"Saya memberitahu kamu satu perkara
maka hendaklah kamu mengingatinya, ada empat jenis manusia dalam dunia ini.
Pertama, manusia yang dikurniakan oleh Allah dengan harta dan ilmu. (Dengan sebab ilmunya itu) dia takut kepada Allah dalam urusan hartanya (yakni dia tidak membelanjakan harta bertentangan dengan kehendak Allah) sebaliknya (dia belanjakan) untuk bersilaturrahim. Dan dia juga tahu bahawa ada hak Allah dalam hartanya itu. (Oleh itu dia membelanjakan harta hanya untuk jalan kebajikan). Orang yang sebegini berada pada darjat yang tertinggi pada hari akhirat nanti.
Orang yang kedua ialah orang yang dikurniakan oleh Allah dengan ilmu tetapi tidak dikurniakan harta. Dia mempunyai niat yang benar dan selalu bercita-cita sekiranya mempunyai harta maka dia akan membelanjakannya sebagaimana si polan membelanjakan hartanya (kepada jalan kebajikan). Lantaran itu (Allah memberikan kepadanya pahala sebagaimana pahala orang yang pertama) kerana niatnya itu maka ganjaran mereka berdua adalah sama.
Orang yang ketiga ialah orang yang dikurniakan harta tetapi tidak dikurniakan ilmu. Disebabkan ketiadaan ilmu maka dia telah menyalahgunakan
hartanya. Dia tidak takut kepada Allah) dalam membelanjakan harta dan dia tidak menggunakan harta untuk bersilaturrahim dan dia tidak tahu bahawa dalam hartanya itu ada hak Allah. Pada hari kiamat orang ini berada pada darjat yang paling buruk.
Orang yang keempat ialah orang yang tidak dikurniakan oleh Allah harta dan tidak juga ilmu. Dia bercita-cita sekiranya mempunyai harta maka dia
akan membelanjakan harta seperti si polan (orang ketiga) maka dia mendapat dosa niatnya itu. Oleh itu, dosanya dan dosa orang ketiga adalah sama. Dengan sebab niat yang baik akan mendapat pahala sama seperti amalan yang baik dan dengan
sebab niat yang buruk akan mendapat dosa sama seperti amalan yang buruk."
( Hadis Tirmizi)