Blogger Widgets

Sunday, November 27, 2016

KISAH SAIDINA ALI DAN BUAH DELIMA (SEDEKAH & IKHLAS NIAT)

Posted by moonlight at 10:48 PM
KISAH SAIDINA ALI DAN BUAH DELIMA (SEDEKAH & IKHLAS NIAT)

Dikisahkan oleh Ka’ab bin Akhbar.

Suatu ketika Saidina Ali bin Abi Thalib bertanya kepada isterinya yang sedang sakit iaitu Siti Fatimah Az Zahra, Puteri Rasulullah SAW; "Wahai Fatimah, adakah engkau menginginkan sesuatu?"
Lalu Siti Fatimah menjawab “Wahai Suamiku, aku ingin buah delima"

Saidina Ali termenung seketika kerana tidak memiliki wang untuk membelikan isterinya buah delima. Beliau segera bangun dan berusaha untuk mendapatkan wang satu dirham. Maka akhirnya Saidina Ali berjaya mendapatkan wang itu dan kemudian beliau terus pergi ke pasar. Setelah membeli sebiji buah delima, beliau segera pulang ke rumah.

Ketika dalam perjalanan ke rumahnya, tiba-tiba beliau ternampak seorang tua terbaring sakit di tepi jalan, Saidina Ali berasa kasihan lalu beliau berhenti dan menghampirinya.

“Wahai orang tua, apa yang diingini oleh hatimu?”, tanya Saidina Ali.
“Wahai Ali, aku sudah lima hari terbaring sakit di tempat ini, banyak orang lalulalang, namun tiada seorang pun yang mempedulikanku. Aku ingin sekali makan buah delima.” Jawab orang tua tersebut.

Mendengar jawabannya, Saidina Ali terdiam, sambil berkata dalam hati,

“Buah delima yang hanya satu buah ini, sengaja telah aku beli untuk Isteriku, kalau aku berikan kepada orang ini, pasti Fatimah akan sedih. Namun jika tidak aku berikan ertinya aku tidak menepati firman Allah; 'Terhadap si pengemis, engkau janganlah mengherdiknya' (QS. Al-Dhuha : 10).

Juga sabda Nabi SAW yang bermaksud, 'janganlah sekali-kali engkau menolak pengemis, sekalipun ia di atas kenderaan'.

Oleh sebab isterinya juga menginginkan buah delima tersebut akhirnya buah tersebut dibahagi dua. Kini ada di tangannya hanya separuh buah delima untuk isterinya. Lalu beliau meneruskan perjalanan kembali ke rumah. Tiba-tiba ada seorang lagi pengemis yang sangat kelaparan mengharapkan bantuan dari Saidina Ali. Rasa sayang yang tinggi terhadap sesama manusia, maka diberikanlah separuh lagi buah delima tersebut kepada pengemis itu.

Sampai di rumah Saidina Ali r.a menceritakan peristiwa itu kepada Isterinya, dan Siti Fatimah berkata kepadanya,

“Wahai suamiku, kenapa engkau bersedih, demi Allah yang maha Perkasa dan Maha Agung, ketika engkau memberikan buah delima kepada orang pengemis itu, maka puaslah hatiku dan lenyaplah keinginanku pada buah delima itu.”

Mendengar kata-kata isterinya itu Saidina Ali merasa gembira.

Selanjutnya, di kamar Rasulullah SAW didatangi oleh Malaikat Jibril as,yang memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Saidina Ali,dan bersama  Jibril as terdapat  10 buah-buahan dari syurga sebagai pengganti buah yang telah diberikan oleh Saidina Ali kepada pengemis tadi. Nabi SAW memanggil salah seorang sahabatnya iaitu Salman al-Farisi (ada yang mengatakan bahawa lelaki itu ialah Abu Said al-Khudri ra) agar menghantar buah-buahan ini kepada Saidina Ali dan putrinya Fatimah az-Zahra.

Tidak lama kemudian datanglah seorang tamu yang mengetuk pintu, lalu Saidina Ali berkata, “Siapakah tuan?”

“Aku Salman Al Farisi,” Jawab orang yang mengetuk pintu itu.
Setelah pintu dibuka, Saidina Ali melihat Salman membawa sebuah wadah tertutup, dan diletakkkan di depan Saidina Ali, lalu Saidina Ali bertanya,

“Dari manakah wadah ini wahai Salman ?”.
“Aku menghantarkannya untukmu dari Allah SWT melalui perantaraan Rasulullah SAW.” Jawabnya.
Setelah penutup wadah tersebut dibuka, terlihat di dalamnya ada 9 biji buah delima. Saidina Ali terus berkata,

“Wahai Salman, jika ini memang untukku, pasti jumlahnya 10”.

Lalu Saidina Ali r.a membacakan firman Allah SWT,
“Barangsiapa membuat satu amal kebaikan, maka pasti baginya sepuluh kali ganda amal balasannya”.(Al-An’am : 160 )

Salman pun tertawa mendengarnya, sambil mengembalikan sebiji lagi buah delima yang ada ditangannya, seraya berkata,
“Wahai Ali, demi Allah, aku hanya sekadar menguji sejauh mana KEYAKINANMU terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.”

Kisah ini bukannya bermaksud setiap apa yang kita keluarkan akan mendapat balas terus pada masa itu juga dengan gandaan 10, namun itu juga tidak mustahil dengan kuasa Allah SWT.

Apa yang lebih penting untuk kita fahami, betapa tinggi dan besarnya kasih sayang Allah SWT kepada kita dan betapa hebatnya iman para sahabat.

#copypaste #ilmu #6sifatsahabat #ikhlasniat #sedekah

0 comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers