Terdapat
dalam hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim bahawa seorang sahabat
bertanya Nabi SAW mengenai apakah jasa yang boleh dilakukan oleh anak
kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.?
"Setiap kali Rasulullah SAW mengadakan majlis iaitu tempat baginda
mengajar umatnya, ia sentiasa di penuhi oleh orang ramai. Pada suatu
hari ketika baginda sedang duduk di sekeliling oleh para sahabat,
datanglah seorang lelaki yang bernama Usaid bin Malik bin Rabiah
menghadapnya. Dia adalah seorang pahlawan Islam yang sangat berani.
Setiap kali Nabi SAW mengadakan majlis itu, Usaid sentiasa
menghadirinya. Dia merasakan segala nasihat-nasihat tentang agama dan
ilmu itu sangat penting baginya. Ketika mereka sedang asyik mendengar
syarahan dari baginda, tiba-tiba datang seorang lelaki dari golongan
Bani Salmah. Sebaik sahaja dia masuk kemajlis itu dengan hormat dia pun
bertanya kepada Rasulullah SAW :
“Ya Rasul Allah, masih dapatkah saya berbuat baik terhadap ibu bapa saya
meskipun mereka telah meninggal dunia. Semasa mereka masih hidup saya
telah berbuat baik terhadap mereka mengikut apa yang terdaya oleh saya.
Saya sentiasa berfikir apakah yang boleh saya lakukan setelah keduanya
meninggal dunia.”
Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud :
“Ya…dapat, sembahyangkanlah untuk kedua ibu bapa kamu, mohon keampunan
untuk keduanya, laksanakanlah wasiatnya dan eratkanlah silaturahim
dengan orang-orang yang kedua ibu bapa kamu lakukan serta muliakanlah
teman kedua ibu bapa kamu.”
Sebaik sahaja mereka terdengar jawapan dari Rasulullah SAW itu mereka
terdiam seketika tetapi di wajah masing-masing terbayang kegembiraan.
Lelaki yang bertanya tadi masih tidak faham akan jawapan yang di berikan
oleh Rasulullah SAW, lantas dia meminta baginda menerangkan sekali
lagi.
Rasulullah SAW tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu lantas baginda
pun bersabda yang bermaksud “Apabila meninggal dunia seorang anak Adam
maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu :
1. Sedekah yang di tinggalkan semasa hidup.
2. Ilmu yang di menfaatkan dan
3. Anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”
Setelah Rasulullah SAW berkata begitu barulah lelaki itu faham dan
mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Nabi SAW kerana
telah memberi sesuatu yang besar menfaatnya kepada yang hidup maupun
yang telah mati.”
(Hadis Riwayat Luqman Hakim)
Berdasarkan hadis di atas terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan
oleh seorang anak untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia
iaitu :
1. Sembahyangkan untuk mereka.
2. Mohon keampunan untuk mereka.
3. Laksanakan wasiat yang mereka tinggalkan.
4. Eratkanlah silaturahim dengan orang-orang yang mereka lakukan
5. Muliakanlah teman-teman mereka.
6. Doakan kepada mereka. (Setiap selepas solat fardu berdoalah kepada
Allah SWT untuk kedua ibu bapa supaya Allah SWT mengampunkan semua
dosa-dosa mereka)
Selain daripada perkara-perkara diatas seorang anak yang soleh atau
solehah akan melakukan beberapa perkara kebaikan untuk membantu ibu bapa
mereka yang sedang berada di alam barzakh sebagai ikhtiar dan
usaha-usaha untuk membantu mereka beroleh kebaikan dan tambahan pahala
yang berterusan.
1. Banyakkan bersedekah terutama sedekah jariah (pembinaan sekolah
agama, masjid, rumah anak yatim dan mewakafkan tanah perkuburan orang
Islam) niatkan untuk mereka.
2. Sedekahkan al-Quran, buku-buku Islam di sekolah-sekolah agama atau maahad tahfiz atau dimasjid-masjid niatkan untuk mereka.
3. Selalu sedekahkan al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan
surah an-nas, surah Yasin, surah al-Baqarah dan ayat-ayat al-Quran yang
lain untuk mereka. Sebaik-baik yang membacanya adalah kita sendiri
sebagai seorang anak.
Sedekah bacaan al-Quran menurut majoriti ulama ahli sunah waljamaah sampai kepada simati :
Abu
al-Lajlaj Abu Khalid (seorang sahabat) mendengar Nabi SAW menggalakkan
para sahabat membaca ayat suci al-Quran di bahagian kepala dan kaki si
mati di atas kubur. Lalu mewasiatkan amalan tersebut kepada anaknya
supaya berbuat demikian.
Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya : berkata
Abu al-Lajlaj Abu Khalid : “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia
kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad,
bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, Kemudian
curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah disisi
kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku telah
mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.” (al-Thabrani, Mu’jam
al-Kabir, 1982, Maktabah al-Ulum Wal Hikam, hlm 220 juz 19)
Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk: “Apa yang perlu dibaca selepas
pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan: “Al-Syafie dan para sahabat
(ulamak Syafi’iyyah) mengatakan: “Disunatkan membaca disisi kubur
sesuatu daripada ayat al-Quran. Mereka mengatakan: Jika mereka
mengkhatamkan al-Quran kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.”
(al-Nawawi, al-Azkar, Dar al-Makrifah: Beirut, 1996, hlm. 142 )
Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata: “Aku bertanya kepada
al-Syafi’ie tentang bacaan al-Quran di kubur. Lalu beliau menjawab:
“Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya:
“Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka
selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Quran di sisinya.”
4. Selesaikan semua hutang-hutang mereka samaada hutang sesama manusia
atau hutang dengan Allah SWT. Jika hutang sesama manusia tidak
diselesaikan roh mereka akan tergantung di antara langit dan bumi.
Hutang dengan Allah SWT adalah nazarnya (jika ada). fidyah kerana
meninggalkan puasa. Jika ibu bapa mempunyai hutang dengan bank seperti
rumah, kereta dan lain-lain pinjaman tersebut melalui cara riba maka
tukarkanlah pinjaman tersebut kepada cara muamalah Islam dan tukar hak
milik kepada anak-anak, kerana berat dosanya yang ditanggung oleh ibu
bapa di alam barzakh.
5. Jika ibu bapa belum menunaikan haji maka kita boleh upahkan haji untuk mereka (niatkan upah haji untuk mereka).
6. Beramal dengan amalan Islam. Semua anak-anak yang masih hidup apabila
mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam dengan melakukan maksiat dan
dosa, anak perempuan tidak menutup aurat, bergaduh sesama adik beradik
kerana harta pusaka semua tindakkan ini menyusahkan dan membebankan ibu
bapa kita yang berada dialam barzakh. Ibu bapa akan menyesal kerana
mereka tidak mendidik anak-anak mereka dengan cara hidup Islam hingga
mereka melakukan maksiat kepada Allah SWT. Ketika ini penyesalan sudah
tidak berguna lagi kerana perkara tersebut sudah berlaku. Tetapi untuk
anak-anak pula macamana mereka hendak membantu ibu bapa mereka yang
sudah mati tadi? Maka mereka perlu beramal soleh, beramal ibadah dan
beramal kebaikan kerana semua pahala yang kalian buat akan membari saham
yang besar kepada ibu bapa kalian yang sedang menderita di alam
barzakh.
Amalkanlah ilmu yang diajarkan oleh kedua ibu bapa kalian maka mereka
akan mendapat pahala ilmu yang bermanfaat. Banyakkan sedekah jariah dan
niatkan untuk ibu bapa maka ibu bapa kalian akan mendapat pahala sedekah
jariah.
Sahabat yang dikasihi,
Teruskan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT. Apabila kita selesai
solat fardu atau ketika berada diwaktu-waktu akhir malam , waktu
mustajab doa maka berdoalah untuk kesejahteraan ibu bapa kita yang telah
meninggal dunia
Dipetik dari : http://abubasyer.blogspot.com/2011/09/apakah-amalan-terbaik-anak-anak-untuk.html